Penarafan IPT Malaysia

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melaksanakan penarafan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Tahun 2022 yang merangkumi Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) dan Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST).

SETARA adalah salah satu sistem penarafan yang dibangunkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2007 untuk mengukur jaminan kualiti dan standard universiti dan kolej universiti di Malaysia berdasarkan autonomi, kualiti dan prestasi institusi. Sistem ini telah dirangka untuk membantu universiti membina asas-asas yang kuat dalam tiga fungsi teras utama iaitu pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan melalui metriks dan metadologi penilaian yang telah ditetapkan. Setiap data institusi yang digunakan di dalam penilaian penarafan ini akan melalui proses verifikasi dan validasi melalui audit lapangan oleh juruaudit bebas yang dilantik oleh pihak KPT.

MyQUEST merupakan suatu sistem yang dibangunkan oleh KPT pada tahun 2009 untuk menilai tahap kualiti kolej swasta di Malaysia. Penilaian dan penaratan MyQUEST ini telah dilaksanakan sebanyak empat (4) kali iaitu sesi 2010/2011, 2012/2013, 2014/2015, dan 2016/2017.

Skor pemarkahan bagi penarafan ini adalah berdasarkan penarafan bintang (star rating) seperti berikut:

  • Enam (6) Bintang – Highly Competitive;
  • Lima (5) Bintang – Very Competitive;
  • Empat (4) Bintang – Competitive;
  • Tiga (3) Bintang – Moderately Competitive;
  • Dua (2) Bintang – Fairly Competitive; dan
  • Satu (1) Bintang – Less Competitive.

 

MyHER (The Malaysian Higher Education Rating System) merupakan sistem yang dibangunkan oleh KPT pada tahun 2022 bagi menampung keperluan SETARA dan MyQUEST secara atas talian (online).