Penarafan IPT Malaysia 2026

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia akan melaksanakan Penarafan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2026, yang merupakan penjenamaan semula kepada penarafan sedia ada, iaitu Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) dan Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST). SETARA dan MyQUEST akan digabungkan di bawah jenama tunggal SETARA, dengan skop penilaian merangkumi keseluruhan data bagi tahun 2025.

SETARA merupakan sistem penilaian yang diperkenalkan sejak tahun 2007 untuk mengukur jaminan kualiti dan standard universiti serta kolej universiti di Malaysia, berasaskan autonomi, kualiti dan prestasi institusi. Ia telah dilaksanakan beberapa kali dengan penyelarasan oleh MQA dan kemudiannya JPT bermula 2017, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2015–2025. Penilaian memberi tumpuan kepada tiga fungsi utama institusi:

  1. Pengajaran dan Pembelajaran

  2. Penyelidikan

  3. Perkhidmatan dan Pendapatan

MyQUEST pula dibangunkan pada tahun 2009 bagi menilai prestasi kolej swasta dari segi kualiti pendidikan dan penyampaian. Ia telah dilaksanakan empat kali sehingga 2016/2017 dan kali terakhir melalui MyQUEST 2022 untuk menilai data kolej swasta bagi tahun 2019–2021.

MyHER (Malaysian Higher Education Rating System) kekal menjadi platform rasmi untuk pengumpulan data, penilaian, dan pelaporan SETARA 2026 secara dalam talian, dengan fungsi yang dipertingkatkan bagi menyokong pelaksanaan penarafan dan penyelarasan instrumen.

Skor pemarkahan bagi penarafan ini adalah berdasarkan penarafan bintang (star rating) seperti berikut:

  • Enam (6) Bintang – Highly Competitve

  • Lima (5) Bintang – Very Competitive

  • Empat (4) Bintang – Competitive

  • Tiga (3) Bintang – Moderately Competitive

  • Dua (2) Bintang – Fairly Competitive

  • Satu (1) Bintang – Less Competitive